9.27.2012

Larang makan makanan ringan rahsia pelajar tahfiz hafaz al-Quran


27 Sept 2012

SEREMBAN - Pelajar tahfiz dilarang sama sekali makan makanan ringan. Ia bukan penderaan tetapi sebagai amalan yang harus menjadi disiplin supaya pelajar mudah untuk menghafaz al-Quran.

Seorang tenaga pengajar Maahad Tahfiz Darul Huffah ( http://darulhuffaz.blogspot.com ), Azri Awang berkata, pihaknya sentiasa memantau aspek pemakanan pelajar.

Menurutnya, tukang masak turut diingatkan supaya tidak meletakkan serbuk perasa dalam makanan yang dimasak kerana ia menjejaskan daya ingatan.

“Selain itu, pelajar yang mengingkari larangan memakan makanan ringan akan dikenakan denda seperti ketuk ketampi.

"Makanan lain yang dilarang adalah memakan kepala ikan," katanya.

Azri berkata, jadual makan turut ditetapkan iaitu sarapan pagi pada jam 8, makan tengah hari selepas waktu Zuhur dan makan malam pula pada jam 6.30 petang.

"Manakala sebelah malam, pelajar diberi minuman panas sekitar jam 10 malam, usai tamat kelas malam," katanya.

Dari segi yuran menurutnya, pihaknya mengenakan yuran RM200 sebulan kepada setiap pelajar, ia termasuk untuk perbelanjaan makan minum, pengajian dan penginapan.

"Manakala anak yatim pula tidak dikenakan sebarang yuran. Dari segi dana, kita banyak menerima sumbangan daripada penderma yang terdiri daripada orang perseorangan atau syarikat korporat," katanya.

Bagaimanapun katanya, ketika pendaftaran pihaknya mengenakan bayaran sebanyak RM400 iaitu RM200 adalah bayaran pendaftaran dan selebihnya yuran bulan pertama.

Azri berkata, silibus pengajian tahfiz dipantau Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).

"Selain itu, proses mendapatkan kebenaran dan lesen membuka tahfiz juga perlu merujuk MAINS.

"Ia perlu bagi memantau aktiviti sekolah tahfiz, selain mengelak daripada berlaku penyelewengan dalam pengajian," katanya.

Katanya, terdapat perbezaan antara pusat tahfiz dan sekolah pondok, di mana ramai yang tidak tahu pusat tahfiz fokus hafaz al-Quran dan asas Fardu Ain.

"Sekolah pondok lebih kepada pengajian ilmu hadis dan tiada hafalan al-Quran," katanya.

Maahad Tahfiz Darul Huffaz yang ditubuhkan sejak 2009 asalnya bertapak di Puchong, Selangor.

Bagaimanapun, pusat tahfiz itu berpindah ke Kampung Kapal di Mukim Ulu Beranang, Lenggeng pada 15 Mac tahun lalu dan mempunyai 20 pelajar yang mengikuti pengajian sejak ia dibuka.

No comments: